Terkejut Keluarga Ini Apabila Mendapati Harimau Dalam Reban Ayam Rumah Mereka

Terkejut Keluarga Ini Apabila Mendapati Harimau Dalam Reban Ayam Rumah Mereka

SIK: Hening subuh sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau akar yang ‘menceroboh’ masuk ke reban ayam penduduk di Kampung Jelutong, Chepir, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, penduduk, Siti Isma Zakaria, 32, berkata dia terjejut apabila terdengar bunyi bising ayam dari reban di belakang rumahnya.

Beliau berkata, emaknya Kamaruah Hassan, 52, kemudian keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat kelibat haiwan seakan kucing bersaiz besar.

“Pada mulanya emak menyangka kucing, tetapi melihat haiwan itu lebih besar dan ekor panjang baru kami menyedari haiwan itu adalah harimau akar.

“Bimbang keselamatan kami sekeluarga, saya terpaksa meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik bagi menangkap haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui di sini, pagi ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Kapten (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir, berkata pihaknya menerima aduan pada jam 6.40 pagi sebelum empat anggota dihantar bagi memberi bantuan.

“Harimau akar itu dipercayai keluar daripada hutan berdekatan untuk mencari makanan dan masuk ke dalam reban ayam penduduk.

“Anggota APM terpaksa mengambil masa agak lama bagi menangkap harimau akar itu menggunakan peralatan khas kerana ia bertindak agresif,” katanya.

Ini adalah kes pertama pada tahun ini membabitkan harimau akar yang tersesat ke kawasan kampung bagi mencari makan.

Mohd Mukhrij berkata, harimau akar itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi tindakan lanjut – HARIAN METRO

1