Tersentuh Dengan Kenyataan Pelajar Ini Tony Menghadiahkan Tiket Ke Mekah

Tersentuh Dengan Kenyataan Pelajar Ini Tony Menghadiahkan Tiket Ke Mekah

IMPIAN seorang anak sulung dari empat beradik mahu membawa ibu bapanya ke Makkah bakal tercapai selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes menghadiahkannya tiket penerbangan.

Penuntut Diploma Pengajian Islam Dakwah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rifqi Saipul Nizam, 18, bertuah apabila impiannya itu ditunaikan Tony yang tersentuh dengan kisahnya yang menjadikan ibu bapanya sebagai sumber inspirasi ketika Program Executive Talk: Air Asia From Zero To Hero di UniSZA, di Kuala Nerus, hari ini.

Muhammad Rifqi yang menjadi individu pertama bertanya soalan kepada Tony menerima tiga tiket penerbangan menunaikan umrah bersama ibu, Mariam Daud, 44, dan bapanya, Saipul Nizam Jusof, 44.

Katanya, dia tidak menyangka akan diberi peluang sebegitu dan menyifatkan ia antara kenangan terindah.

“Memang terkejut apabila saya dipanggil semula dan beliau (Tony) mengatakan kisah saya menginsipirasikan dan menggembirakannya.

“Perasaan bercampur baur apabila beliau mengatakan akan memberikan saya tiket untuk menunaikan umrah.

“Sudah lama saya menyimpan hajat ke sana. Alhamdullilah, ia bakal tercapai dan rezeki itu memang tidak salah alamat,” katanya selepas Program Executive Talk: Air Asia From Zero To Hero di UniSZA, hari ini.

Menurutnya, dia yang kagum dengan Tony sekadar mahu mengetahui rahsia kejayaan dan sumber inspirasinya sehingga berjaya seperti hari ini.

“Ketika sesi soal jawab itu, saya turut berkongsi kepada semua yang hadir bahawa ibu bapa saya adalah inspirasi saya untuk terus kuat mengejar impian.

“Saya beritahu impian saya untuk membawa orang tua saya ke Tanah Suci sama ada untuk menunaikan fardu haji atau umrah kerana mereka insan penting dalam hidup saya.

“Saya sekadar berkongsi impian dan tidak sangka beliau mahu menunaikannya menjadi kenyataan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1