Video: Stesen Minyak Petronas Diserbu Bak ‘Lalat’

Video: Stesen Minyak Petronas Diserbu Bak ‘Lalat’

KECOH kala ini berita mengenai inisiatif tawaran petrol percuma buat penunggang motosikal daripada beberapa pengusaha stesen minyak tempatan dan parti politik tertentu.

Ia berikutan pengumuman baharu harga siling bahan bakar petroleum pada Rabu lalu, yang mengalami kenaikan berterusan sedikit berbanding minggu-minggu terdahulu.

Awal pagi ini sahaja, beberapa pengusaha stesen minyak di seluruh tanah air menganjurkan program pemberian petrol secara percuma kepada penunggang motosikal bawah 150 cc.

Inisiatif ini termasuklah anjuran UMNO Bahagian Sungai Petani yang memberi percuma kepada 1,000 motosikal pertama di stesen minyak Petronas Bandar Puteri Jaya, Kedah awal pagi tadi.

Tidak ketinggalan juga stesen minyak Petronas Kota Masai 2, di Johor yang menawarkan pemberian minyak percuma kepada 500 pengguna motosikal terawal, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Bagaimanapun di media sosial, muncul satu rakaman video memaparkan kesesakan ribuan pengguna motosikal ‘menyerbu’ sebuah stesen minyak Petronas yang tidak diketahui lokasinya.

Menerusi rakaman amatur yang menjadi tular itu, dapat diperhatikan kira-kira lebih 2,000 penungang motosikal beratur menunggu giliran masing-masing di stesen minyak berkenaan.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada stesen berkenaan ada menawarkan minyak percuma ataupun hanya diskaun harga petrol kepada pengguna motosikal bawah 150 cc.

Bagaimanapun menurut maklumat netizen, insiden itu bukan acara pemberian minyak percuma sebaliknya hanyalah konvoi beberapa kelab motosikal yang menghala ke arah utara.

Mungkin yang menularkan rakaman tersebut berniat kurang baik konon pengguna mengisi minyak secara percuma sebagai protes terhadap kenaikan harga bahan bakar itu. – MYNEWSHUB.CC

1