Wanita Bekerja Sebagai Badut Untuk Menyara Kucing Jalanan

Wanita Bekerja Sebagai Badut Untuk Menyara Kucing Jalanan

SETIAP petang, wanita ini tidak akan ketinggalan untuk singgah di Pasar Pasir Pinji, Ipoh memberi makan kepada kucing jalanan di situ. Rutin itu seperti satu kemestian yang dilakukan Nazirah Abd Rahman, 42, sejak lima tahun lalu.

Masa hujung minggu pula dimanfaatkan Nazirah dengan mengambil tawaran sebagai badut demi mencari wang tambahan menampung perbelanjaan dan kos rawatan 50 kucing peliharaannya yang diselamatkan dari jalanan. Ibu tiga anak itu berkata, pekerjaan sebagai badut yang dilakukannya bermula sejak setahun lalu.

Menurut Nazirah, tiada istilah penat dan jauh sekali malu kerana baginya, apa yang lebih penting adalah melihat kucing peliharaannya mendapat peluang kedua untuk hidup.

“Saya tak malu sebaliknya seronok menjadi badut kerana selain menghiburkan orang ramai, saya dapat mencari duit lebih menampung perbelanjaan kucing peliharaan yang sakit dan memerlukan rawatan. Lagipun, saya memang sayangkan kucing jadi menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mengikut yang termampu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nazirah berkata, dia mula memelihara kucing sejak lima tahun lalu cuma hanya menjaga yang dalam keadaan baik saja pada waktu itu. Namun, keinginan menyelamatkan ‘si bulus’ jalanan timbul selepas dia menemui seekor kucing dalam keadaan menyedihkan.

“Satu hari, saya menemui seekor kucing dalam keadaan kakinya berulat dan disebabkan tidak sampai hati, saya membawanya pulang untuk dirawat. Melihatnya pulih, saya jadi bersemangat untuk membantu yang lain dan minat itu berterusan sehingga kini,” katanya.

Bercerita lanjut, Nazirah berkata, kira-kira RM400 diperlukan setiap minggu untuk membeli keperluan kucing peliharaannya dan jumlah itu tidak termasuk kos rawatan di klinik veterinar serta lain-lain lagi. Menyedari keperluan itu, Nazirah nekad mencari pendapatan sampingan dengan menjadi badut di majlis atau acara yang memerlukan khidmatnya.

“Kucing peliharaan saya terdiri daripada pelbagai jenis, ada yang cedera kerana disimbah air panas dan juga lumpuh akibat dilanggar lari. Disebabkan itu, saya tidak boleh memberi makanan sembarangan sebaliknya mengikut keperluan kucing berkenaan, namun kosnya bukan sedikit.

“Untuk mengharap gaji bulanan saja tidak cukup dan kebetulan, tidak ramai wanita memilih kerjaya sebagai badut pada waktu ini. Jadi, saya ambil peluang menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman.

“Pengalaman pertama saya adalah menghiburkan kanak-kanak di tadika dan mulanya agak gementar tetapi kini sudah dapat membiasakan diri kerana selepas mengenakan solekan serta memakai kostum, karakter kita automatik akan berubah,” katanya. Menurut Nazirah, kebiasaannya, tawaran sebagai badut diambil pada hujung minggu atau cuti umum dan dilakukan selepas tamat waktu kerja sebagai perunding kecantikan di pusat beli-belah.

“Selesai saja waktu kerja, saya terus bersiap dengan mengenakan solekan dan memakai kostum untuk menjadi badut dan selalunya membuat persembahan di sebuah kafe di Ipoh. Selain itu, saya turut mengambil tawaran membuat persembahan di majlis hari jadi, hari keluarga dan lain-lain acara keramaian tetapi pernah juga menolaknya kerana kekangan waktu.

“Alhamdulillah, tawaran sentiasa ada. Malah, walaupun banyak wang dibelanjakan untuk kucing peliharaan, rezeki saya tidak pernah putus dan berharap dapat terus membantu lebih banyak kucing sakit dan teraniaya di luar sana,” katanya.

Sumber:  HARIAN METRO

8